suria

CEO Didakwa 51 Pertuduhan Tipu Babitkan RM207,000

KUALA LUMPUR: Ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap 51 pertuduhan menipu membabitkan RM207,000 berhubung bayaran permit kerja warga asing.

Mohd Nur Asyraf Amir, 24, bersama seorang yang masih bebas didakwa memperdaya Pegawai Operasi Syarikat Bidai Semarak Sdn Bhd, Anwar Masa'od, 30, sehingga mendorong mangsa menyerahkan kesemua wang itu sebagai bayaran untuk membuat permit.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Paradise Linx Sdn Bhd, Jalan 2/50 off Jalan Gombak Diamond Square, Setapak, antara 5 Feb 2013 dan 15 Mei 2013 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal menawarkan jaminan RM30,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Khairul Azwad Sariman, yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya memberikan kerjasama baik semasa siasatan kes itu.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Julai untuk sebutan kes. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain