suria

Belum Ada Keperluan Bawa Pulang Pelajar Tajaan Mara Di Mesir - Shafie Apdal

PUTRAJAYA: Pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang sedang menuntut di Mesir berada dalam keadaan selamat dan setakat ini masih belum ada keperluan membawa mereka pulang ke tanah air.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal berkata pihaknya sentiasa berhubung dengan Wisma Putra bagi mendapatkan nasihat serta panduan mengenai keadaan di negara yang sedang bergolak itu.

Menurut beliau, setakat ini suasana persekitaran kawasan penempatan pelajar Mara di Mesir adalah terkawal dan mereka tidak terlibat dengan sebarang demonstrasi di sana.

"Selagi mereka tidak terjerumus atau terlibat dalam sebarang demonstrasi, keadaan mereka terjamin," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Kemajuan Masyarakt (Kemas) di Dewan Serbaguna kementerian di sini Isnin.

Situasi politik di Mesir ketika ini tegang ekoran penggulingan Presiden Mohammed Morsi oleh pihak tentera negara itu pada Selasa dan sehingga semalam pertempuran antara penyokong Morsi dengan penentangnya di beberapa bandar raya negara itu, sudah meragut lebih 30 nyawa.

Sabtu lalu, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh menasihati para pelajar Malaysia di Mesir yang selesai menghadapi musim peperiksaan dan tidak terlibat dengan program akademik seperti latihan praktikal atau 'summer course', supaya pulang bercuti memandangkan situasi politik negara itu yang kurang stabil.

Terdapat kira-kira 1,000 pelajar tajaan Mara menuntut di Mesir kini dengan kebanyakan mereka menetap berjauhan daripada kawasan konflik.

Sementara itu, Shafie berkata anggota Kemas perlu meneroka kaedah baharu dalam usaha mendekati dan mendapat akses lebih baik dalam menyampaikan maklumat mengenai dasar kerajaan kepada rakyat.

Beliau berkata selaras dengan ledakan teknologi maklumat (IT), mereka juga harus tahu menggunakan aplikasi seperti Facebook, Twitter, Whatsapp dan sebagainya, bagi memastikan mereka tidak ketinggalan.

Katanya anggota Kemas mempunyai tanggungjawab untuk menjelaskan setiap isu yang timbul berkaitan dasar kerajaan supaya tidak timbul kekeliruan.

"Apabila isu itu diputarbelitkan faktanya oleh pihak tertentu, ia hanya akan membawa kepada persepsi negatif," katanya.

Seramai 1,404 warga kerja Kemas tetap dan kontrak dari seluruh negara menerima anugerah perkhidmatan cemerlang kali ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain