suria

Polis Sahkan Pembunuhan Di Gedangsa Bukan Kerana Bergaduh Sesama Sendiri

KUALA LUMPUR: Dua mayat yang ditemui di dalam kebun kelapa sawit di Jalan Baru, Sri Keledang, Gedangsa di sini, Sabtu dipercayai akibat dibunuh dan bukan kerana mangsa bergaduh sesama sendiri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor DSP Zulkifli Bidin berkata hasil siasatan polis, mayat Muhamad Hafiz Omar, 28, dan Hamsi Hashim, 42, yang ditemui kira-kira 4.30 petang semalam itu dipercayai dibunuh lebih seorang penjenayah identitinya belum dikenal pasti.

Beliau berkata berdasarkan siasatan polis, modus operandi ialah penjenayah yang dipercayai lebih daripada seorang itu datang ke tempat kejadian dan bergaduh dengan Hamsi yang ketika itu berada di tepi sungai.

"Penjenayah itu memukul kepala Hamsi dengan batang pencakar rumput yang menyebabkan mangsa cedera parah dan mati di tempat kejadian. Bagaimanapun kejadian itu tidak disedari Muhamad Hafiz yang sedang tidur di dalam pondok yang terletak kira-kira 20 meter dari sungai itu," katanya kepada Bernama Ahad.

Beliau berkata penjenayah itu kemudiannya bertindak memasuki pondok itu lalu menyembelih leher Muhamad Hafiz serta menggeledah barang di dalam pondok berkenaan.

Katanya berkata motif kejadian masih disiasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sebuah akhbar pada Ahad melaporkan dua lelaki itu maut selepas bergaduh sesama sendiri sebelum mayat mereka ditemui orang awam yang kemudiannya melaporkan kepada pihak berkuasa. - BERNAMA

Artikel Lain