suria

PGA Rampas Mercun, Bunga Api Bernilai RM500,000 Di Bukit Kayu Hitam

BUKIT KAYU HITAM: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM500,000 yang ditinggalkan dalam sebuah lori di tepi jalan berhampiran Markas Taktikal pasukan itu.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Bidor Deputi Superintenden S.Sivanganam berkata 328 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis ditemui kira-kira pukul 12.30 tengah malam selepas pihaknya memeriksa kenderaan yang berada dalam keadaan mencurigakan itu.

"Biasanya selepas pukul 12 tengah malam, kenderaan tidak dibenar diletak di tepi jalan kerana pintu pagar (sempadan) sudah ditutup," katanya kepada pemberita di Balai Polis Bukit Kayu Hitam pada Sabtu.

Beliau berkata pihaknya kemudian melakukan intipan sehingga 7 pagi tadi bagi melihat jika ada individu yang akan menghampiri kenderaan itu, namun tiada sesiapa muncul.

Sivanganam berkata rampasan itu adalah yang pertama dan terbesar pernah dicatat PGA Batalion 3 setakat ini, dan beliau percaya ia diseludup dari negara jiran sempena Aidilfitri tidak lama lagi.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Kakisan 1952, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain