suria

FAMA Jamin Bekalan Kelapa Mencukupi Pada Ramadan, Aidilfitri

IPOH: FAMA memberi jaminan sebanyak empat juta biji kelapa akan berada dalam pasaran bagi menampung keperluan yang dijangka meningkat menjelang Ramadan dan Aidilfitri yang menjelang tiba.

Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak berkata bekalan kelapa yang turut diimport dari negara jiran itu dapat menampung keperluan pengguna yang memerlukan tiga juta biji kelapa sepanjang Ramadan serta satu juta bagi persediaan menyambut Aidilfitri.

"Bekalan kelapa dijangka mencukupi untuk bulan puasa dan musim perayaan ini, jadi tidak timbul masalah kekurangan kelapa setakat ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pasar Tani Khas Pra-Ramadan di Pasar Tani Kampung Simee di sini Sabtu.

Beliau berkata walaupun terdapat beberapa kawasan yang sering menghadapi kekurangan kelapa seperti di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Sungai Petani, Kedah namun ia dijangka dapat diatasi dengan penambahan bekalan.

Para pengguna tidak perlu khuatir kerana langkah penambahan bekalan kelapa telah dibuat dan ia mampu menampung keperluan mereka, katanya.

Sementara itu, beliau berkata 208 daripada 508 pasar tani di seluruh negara akan beroperasi sebagai pasar tani khas pra-Ramadan setiap pagi mulai hari ini hingga Selasa depan.

Ahmad berkata ia bertujuan memberi kemudahan kepada pengguna khususnya masyarakat Islam membuat persediaan menyambut kedatangan bulan puasa minggu depan.

Beliau berkata pasar tani khas itu menyediakan pelbagai barangan keperluan seperti ayam, daging serta sayur-sayuran segar dan berkualiti di samping menawarkan harga yang lebih rendah dan berpatutan. "Penubuhan pasar tani ini selaras dengan hasrat kerajaan dalam menangani isu (kenaikan) harga barang keperluan yang sering menjadi rungutan pengguna terutama ketika musim perayaan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain