suria

Cuepacs Saran Bina Rumah Bawah RM250,000 Untuk Penjawat Awam

SHAH ALAM: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan persekutuan dan negeri menyediakan rumah kos sederhana berharga RM250,000 ke bawah untuk penjawat awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata ini kerana kira-kira 45 peratus daripada 1.4 juta penjawat awam masih tidak mampu memiliki rumah sendiri kerana faktor harga.

"Kumpulan 45 peratus ini masih menyewa rumah dengan kadar RM800 ke RM1,500 sebulan walaupun ada yang sudah lima tahun berkhidmat. Sampai bila mereka nak menjalani kehidupan seperti ini (tidak memiliki rumah sendiri). "Kita mahu ini (penyediaan rumah kos sederhana) dilaksanakan segera bagi membolehkan penjawat awam tinggal di rumah sendiri dengan selesa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan dan mesyuarat agung tahunan Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) di sini Sabtu.

Omar berkata langkah penyediaan rumah kos sederhana yang mampu dimiliki penjawat awam berpendapatan RM7,000 ke bawah secara tidak langsung boleh meningkatkan produktiviti dan prestasi kerja mereka. Mengambil contoh Putrajaya, beliau berkata majoriti penjawat awam di pusat pentadbiran negara itu tidak memiliki rumah sendiri, sebaliknya hanya menetap di kuarters kerajaan.

Omar turut mencadangkan supaya Jabatan Perumahan Negara dipertanggungjawab menyediakan rumah kos sederhana berbanding pihak pemaju.

Beliau berkata pihaknya bersedia memberi pandangan dan kerjasama kepada kerajaan persekutuan dan negeri bagi menyelesaikan isu itu.

Mengulas mengenai bonus, Omar berharap kerajaan menimbang pemberian bonus dua setengah bulan kepada penjawat awam di seluruh negara seperti yang dicadangkan Cuepacs sebelum ini.

"Kita telah bawa cadangan pemberian bonus ini kepada kerajaan dan telah mendapat maklum balas daripada Ketua Setiausaha Negera (KSN). KSN berkata terpulang kepada perdana menteri untuk memutuskan perkara ini.

"Apapun kita berharap penjawat awam akan menerima bonus setengah bulan gaji sebelum Hari Raya Aidilfitri dan selebihnya diumumkan perdana menteri pada pembentangan Belanjawan 2014, Oktober ini," katanya. Dalam perkembangan lain, Omar berkata pihaknya akan mengadakan perjumpaan khas dengan semua anggota di bawah Majlis Permuafakatan Kesatuan dan Persatuan Guru Kementerian Pendidikan bagi mendapatkan maklum balas berhubung kesan penggabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi di bawah satu kementerian iaitu Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata hasil perjumpaan itu yang dijadual berlangsung September ini akan diserahkan kepada kerajaan untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Omar menerima 17 resolusi daripada Presiden Kongres, Datuk Jemale Paiman untuk tindakan kerajaan persekutuan dan Kementerian Pendidikan, termasuk mewajibkan guru dan pensyarah yang mengajar subjek bahasa Melayu untuk mengajar mata pelajaran itu di semua peringkat termasuk sekolah vernakular tanpa kompromi ke arah memupuk keharmonian dan perpaduan kaum di Malaysia.

Ia juga antara lain memohon supaya 27 Institut Pendidikan Guru dinaik taraf sebagai Universiti Pendidikan Malaysia yang berfungsi melahirkan graduan guru yang mempunyai Sijil Profesional Standard Guru Malaysia untuk mengajar di semua sekolah. -BERNAMA

Artikel Lain