suria

Polis Tahan Dua Lelaki Curi 85 Kompresor Penghawa Dingin Kereta

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian mencuri 85 kompresor pendingin hawa kereta bernilai RM10,000 di sebuah kilang komponen itu di Desa Tun Razak, Cheras pada 3 Julai lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata penahanan suspek berusia lingkungan 30-an dilakukan selepas pengurus kilang itu membuat laporan polis berhubung kehilangan beberapa kompresor berkenaan.

"Laporan dibuat selepas pengurus kilang mendapati dua suspek itu merupakan pekerjanya menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Bertindak daripada laporan itu, kami berjaya menahan suspek dan hasil soal siasat yang dijalankan pihak polis telah membawa kepada penemuan semula 85 kompresor di sebuah rumah di Taman Selayang Jaya, Batu Caves," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, Jumaat.

Beliau berkata suspek kini ditahan reman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, tiga lelaki ditahan selepas cuba memecah masuk sebuah rumah di Taman Len Sen di sini pada 2 Julai sekali gus menyelesaikan beberapa kes pecah rumah dan curi sekitar Cheras.

Mohan Singh berkata pihaknya bertindak selepas dihubungi seorang penduduk di taman itu yang rumahnya cuba dipecah masuk suspek.

"Apabila polis sampai di belakang rumah itu, kami melihat kelibat seorang lelaki sedang cuba melarikan diri lalu terus menangkapnya. Polis menemui sebilah kerambit di dalam seluar bahagian depan dan sebilah pisau yang disimpan pada kaki kiri suspek," katanya.

Beliau berkata suspek kedua ditahan berhampiran stesen minyak manakala yang ketiga di Kampung Loke Yew, Setapak bersama sebuah kereta yang dilaporkan hilang di Kelana Jaya sebelum ini.

Katanya, suspek yang berusia lingkungan 21 dan 40 tahun itu memiliki beberapa rekod lampau berkaitan kes dadah dan polis merampas beberapa barang yang dipercayai digunakan untuk tujuan pecah rumah, antaranya, besi pengumpil pintu dan tiga batang spanar.

Kesemua suspek ditahan reman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain