suria

Malaysia Dan UNHCR Cadang Tubuh Pusat Latih Pelarian

PUTRAJAYA: Malaysia dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bercadang menubuhkan sebuah pusat latihan untuk melatih pelarian yang ingin bekerja di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan penubuhan pusat latihan itu akan dikemukakan kepada kerajaan oleh Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia dan UNHCR di Malaysia.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia juga akan berbincang dengan negara asal pelarian mengenai tindakan selanjutnya termasuk menghantar pulang pelarian jika situasi negara asal kembali pulih atau berada dalam keadaan aman.

"Jika mereka berhasrat menjadi pekerja asing di negara kita, maka mereka mesti melalui proses untuk mendapat latihan sama ada secara separa mahir ataupun pekerja mahir.

"Pusat latihan itu akan melatih mereka dalam bidang pekerjaan dan memahami aspek sosial budaya di Malaysia supaya menghormati negara kita dari segi perundangan dan sosial budaya," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat wakil UNHCR di Malaysia, Paul Alan Vernon di pejabatnya di sini Khamis.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, Kementerian Dalam Negeri akan bekerjasama dengan UNHCR untuk membanteras pelarian di negara ini yang memegang kad UNHCR palsu.

Beliau berkata, kad palsu UNHCR itu dikeluarkan oleh pihak yang cuba mengaut keuntungan.

"UNHCR telah mengeluarkan kad yang hanya mereka dapat kenalpasti sama ada asli atau palsu. Kita perlu bekerjasama dan aspek teknikal pengeluaran kad amat penting untuk kita ketahui, jika tidak kami tidak boleh membezakan antara yang asli atau palsu," katanya.

Dalam pertemuan itu, Ahmad Zahid dan Vernon turut membincangkan layanan Malaysia terhadap pelarian UNHCR.

Selain itu, beliau berkata pelarian yang melahirkan anak di negara ini tidak secara automatik menjadi warganegara Malaysia.

"Kami sedang melihat mekanisme yang sesuai untuk jangka pertengahan dan panjang bagi menentukan kedudukan mereka (pelarian) selepas tamat tempoh sebagai pekerja sah di negara ini dan tidak menggunakan kad UNHCR," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain