suria

Bakal Jemaah Haji Dinasihat Ambil Rawatan Segera Jika Alami Gejala Virus MERS

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan menasihatkan semua bakal haji di negara ini supaya mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala virus Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS).

Menteri berkenaan Datuk Seri S. Subramaniam berkata beliau percaya pihak Tabung Haji sentiasa memantau tahap kesihatan setiap jemaah haji bagi memastikan kelancaran mereka mengerjakan ibadah itu.

"Jadi saya nasihatkan semua bakal jemaah haji mengikuti nasihat Tabung Haji dengan menjalani pemeriksaan kesihatan selain mengambil ubat serta mendapatkan vaksin sepatutnya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ijazah kepada 35 graduan Fakulti Optometri, Institut Nasional Sains Oftalmik di sini Jumaat.

Sehingga kini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum menemui vaksin untuk mencegah MERS yang kini telah meragut 33 nyawa manakala 55 lagi dijangkiti virus itu di Arab Saudi sejak September lepas.

Antara gejala jangkitan MERS ialah demam panas, kesukaran bernafas, cirit birit dan muntah-muntah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain