suria

Anggota Rela Didakwa Aniaya Anak Angkat

KLANG: Seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menganiaya anak angkatnya yang berusia tujuh tahun dengan memukul kedua-dua tangan serta kaki kanak-kanak malang itu menggunakan tali pinggang.

Amminuddin Shaharudin, 42, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di depan Majistret Maslina Mohamed.

Maslina kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Beliau turut melarang Aminuddin mendekati mangsa dan memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran seminggu sekali.

Aminuddin didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Mohamad Akmal Hakimi Abdullah di No 7, Jalan Gelama, Telok Gadong di sini pada 7.50 malam 1 Julai lepas mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim tidak menawarkan jaminan atas alasan banyak kes dera dilaporkan di media dan mangsa masih tinggal bersama isteri tertuduh.

Bagaimanapun, peguam S.K.Pari meminta mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin sebanyak RM2,000 dan memberi aku janji tertuduh akan tinggal di tempat lain.

Beliau turut mencadangkan agar mahkamah mengenakan syarat tambahan sekiranya membenarkan Aminuddin diikat jamin. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain