suria

Sub Modul 'Inspirasi Ops Daulat Lahad Datu' Dirangka Bagi Pelatih PLKN Tahun Depan - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) sedang merangka sub modul 'Inspirasi Ops Daulat Lahad Datu' dalam Modul Kenegaraan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bermula Januari 2014.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau telah mencadangkan kepada JLKN agar insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu itu dijadikan sub modul.

Beliau berkata, dengan sub modul tersebut diharap setiap rakyat Malaysia khususnya generasi muda mempunyai semangat patriotisme yang tinggi serta memahami asas kedaulatan negara.

"Dalam konteks ini, pengorbanan anggota-anggota keselamatan yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mempertahankan keselamatan serta keamanan negara perlu dicontohi oleh setiap rakyat," katanya kepada dalam satu kenyataan, di sini Rabu.

Katanya, sub modul tersebut akan dilancarkan secara percubaan kepada pelatih-pelatih PLKN di sembilan buah kem di Pahang pada pertengahan Ogos, sebelum dilaksanakan di semua kem seluruh negara tahun depan.

Bermula Selasa, jurulatih-jurulatih pakar PLKN telah menghadiri bengkel khusus bagi membangunkan sub modul berkenaan dan pada 13 Julai nanti mereka akan melatih 3,000 jurulatih di seluruh negara, katanya.

Hishammuddin berkata, antara perkara yang akan dimasukkan dalam sub modul tersebut ialah kepentingan menjaga kedaulatan negara serta mempertahankan keamanan.

"Pelatih-pelatih PLKN juga akan menyaksikan tayangan video ops Daulat Lahad Datu dan berjumpa wira-wira negara yang telah mempertahankan kemerdekaan negara," katanya.

Beliau berkata setakat ini, JLKN telah mengenal pasti 25 orang pesara ATM yang memegang Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) untuk bersama pelatih PLKN berkongsi pengalaman mereka semasa menjalankan tugas menjaga keselamatan negara.

Beliau berharap pemegang SP dan PGB dari PDRM serta penerima-penerima anugerah lain dari kedua-dua pasukan akan turut bersama kemudian. - BERNAMA

Artikel Lain