suria

Selangor Kaji Haramkan Shisha

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan mengkaji kewajaran dari sudut kesihatan sebelum mengeluarkan fatwa mengharamkan amalan menghisap shisha di negeri itu.

Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Daroyah Alwi berkata, Jabatan Kesihatan Selangor akan mula menjalankan operasi pemeriksaan dan pemantauan di setiap premis yang menjual dan menyediakan khidmat shisha bermula Ogos depan.

Dr Daroyah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa berkata, pihaknya akan menunggu hasil laporan daripada Jabatan Kesihatan sebelum menyerahkan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri untuk pandangan mufti sama ada untuk mengharamkan pengambilan shisha terhadap masyarakat beragama Islam atau tidak.

"Setakat ini tidak ada lagi keputusan untuk mengharamkan shisha tetapi jika didapati ia berbahaya dan melanggar Peraturan Kawalan Hasil Tembakau maka kerajaan negeri akan membuat keputusan untuk mengharamkannya," katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Rabu.

Menurut beliau, shisha kebiasaannya dihisap selama 45 minit sehingga sejam bersamaan 40 hingga 60 batang rokok sekaligus meningkatkan paras karbon monoksida sehingga boleh menyumbang kepada penyakit barah.

Melaka merupakan negeri pertama mengharamkan shisha di negeri itu pada tahun 2009, kemudiannya Jawatankuasa Fatwa Perlis pada 29 Jun lalu mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding rokok.

Pandangan sama turut dilontarkan Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman yang menganggap shisha boleh dikategorikan sebagai haram kerana mendatangkan kemudaratan kepada individu sama seperti rokok dan cerut.

Sementara itu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan menimbang kemungkinan untuk mengikut jejak Perlis.

Artikel Lain