suria

Selangor Hanya Setuju Projek Langat 2 Jika Beri Keuntungan

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor bersetuju dengan pembinaan Loji Rawatan Air Langat Dua (Langat Dua), sekiranya ia memberikan nilai ekonomi kepada negeri itu.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, ketika menjawab soalan lisan daripada Shahrum Mohd Sharif (BN-Dengkil), berkata pembinaan loji rawatan itu perlu dilakukan, jika harga pengambilalihan itu bersesuaian dengan jangkaan kerajaan negeri kerana yang akan membayarnya adalah pengguna air di Selangor.

Ketika menjawab soalan Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong), Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri sudah bersedia untuk mengadakan perbincangan secara profesional dengan kerajaan pusat demi memastikan pengguna air Selangor mendapat perkhidmatan air terawat pada harga terbaik.

Katanya, ia tidak semestinya air terawat itu datangnya dari projek Langat Dua atau dari mana-mana punca air yang ada di Selangor.

Beliau berkata, sekiranya projek Langat Dua sudah terbina kedua-dua pihak kerajaan negeri dan Pusat perlu duduk bersama dan berbincang bagaimana untuk menggunakan air terawat dari projek itu, iaitu air yang diperolehi dari Pahang, bagi memastikan harga terbaik dapat ditawarkan kepada rakyat Selangor.

Terdahulu, Abdul Khalid berkata, berdasarkan kepada kajian yang diadakan, Selangor menghasilkan kira-kira 17,000 juta liter air mentah sehari, tetapi penggunaan harian adalah antara 3,000 juta liter hingga 3,500 juta liter.

"Sekiranya penggunaan itu meningkat sehingga 5,000 juta sehari pun, air di Selangor cukup untuk beri perkhidmatan itu, kerana kita ada 17,000 juta liter air (sehari).

"Jika penggunaan itu meningkat sehingga 6,000 juta liter sehari pun, masih ada air," katanya.

Abdul Khalid berkata, terdapat 34 loji rawatan air yang beroperasi di negeri itu pada masa ini mampu menghasilkan sehingga 4,800 juta liter air sehari.

Katanya, daripada jumlah itu, hanya 70 peratus saja yang sampai kepada pengguna manakala 30 peratus lagi adalah air tidak terawat (NRW) yang hilang ketika pengagihan.

Artikel Lain