suria

Pukul Isteri: Petani Dihukum Penjara Lima Bulan, Denda RM5,000

KOTA BARU: Seorang petani yang memukul isterinya dengan tali pinggang kerana enggan memberi wang kepadanya untuk membeli arak, dihukum penjara lima bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret, Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Farid Kamal Bala, 29, selepas tertuduh mengaku memukul isterinya, Siti Khadeejah Abdullah, 32, bulan lepas.

Nik Habri juga memerintahkan tertuduh, yang merupakan seorang mualaf, dipenjara dua bulan lagi jika gagal membayar denda.

Farid Kamal mengaku memukul isterinya, yang juga mualaf warga Thailand, di sebuah rumah di Pondok Terusan Pasir Tumboh di sini pada 8 malam, 8 Jun lepas sehingga menyebabkan Siti Khadeejah cedera di bahagian dahi, lengan tangan kanan dan jari kecil tangan sebelah kanan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda, atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Md Zukri manakala Farid Kamal tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Artikel Lain