suria

Pegawai Polis, Pengusaha Kafe Mengaku Tidak Bersalah Terima Rasuah

ALOR SETAR: Seorang pegawai polis dan pengusaha kafe mengaku tidak bersalah atas tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Alor Setar di sini Rabu.

Inspektor Azhar Esa dari Bahagian Ketenteraman Awam Cawangan Pengiring Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Setar, dan Md Salmi Jamaludin, 27, minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah kepada mereka.

Azhar, 33, dituduh menerima suapan wang tunai RM500 melalui Md Salmi daripada Mohd Khairuldin Othman, 22, sebagai dorongan untuk melepaskan sebuah motosikal Yamaha RXZ nombor pendaftaran KBL9080 yang disita di bengkel Reng Maa Motor, Jalan Kota Tanah, Alor Setar pada 3 Februari 2012.

Motosikal itu kemudian dibawa dan disimpan di Bahagian Trafik IPD Kota Setar.

Md Salmi, dari Sungai Mati, Langgar, dekat sini pula dituduh secara rasuah menerima suapan wang tunai RM500 daripada Mohd Khairuldin sebagai dorongan untuk melepaskan motosikal itu yang disita di bengkel Reng Maa Motor oleh polis Trafik IPD Kota Setar pada 3 Februari 2012.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 7 Februari 2012 kira-kira 5 petang di gerai makan Medan Kota, Jalan Pegawai di sini.

Azhar didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) manakala Md Salmi mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta 694 dan kedua-duanya boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Mengikut akta itu kedua-dua tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi sekiranya sabit kesalahan.

Hakim Mohd Rosli Osman membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM4,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 5 Ogos depan untuk perbicaraan serta bagi membolehkan kedua-dua tertuduh melantik peguam.

Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Syahrul Khuzaini Amiruddin menjalankan pendakwaan. - BERNAMA

Artikel Lain