suria

Kerajaan Terus Liberalisasikan Sektor Utama, Khususnya Perkhidmatan - Najib

LONDON: Kerajaaan akan terus meliberalisasikan sektor utama, khususnya perkhidmatan, dan meningkatkan usaha untuk menarik, mengekal dan menggalakkan bakat, agar perniagaan serta pekerja di Malaysia terus maju dalam ekonomi global yang sangat kompetitif.

"Kami akan memberi tumpuan terhadap mereka yang potensinya belum dicapai sepenuhnya golongan muda, wanita dan bakat asing," katanya pada majlis minum petang bersama Friends of Barisan Nasional UK (FBNUK) anjuran Lord Sheikh of Coornhill (Mohd Iltaf Sheikh), seorang penyokong FBNUK, di House of Lords, di sini pada Rabu.

Turut hadir Menteri Kanan Hal Ehwal Luar dan Pejabat Komanwel dan Menteri Kepercayaan dan Komuniti Baroness Warsi (Sayeeda Hussain Warsi), Timbalan Menteri di pejabat Hal Ehwal Luar dan Komanwel Hugo Swire, dan Pengasas Bersama yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) Tan Sri Michael Yeoh.

Najib berkata kerajaan Barisan Nasional akan memastikan pertumbuhan Malaysia lebih fokus dan berterusan dalam usaha membawa transformasi kepada ekonomi negara dan memperhebatkan pertumbuhan, memperbanyakkan peluang dan menyediakan tadbir urus lebih baik.

"Sebagai perdana menteri, cita-cita saya adalah untuk memastikan pertumbuhan kita bersifat terangkum dan lestari, untuk menunaikan janji yang dibuat dan mendemokrasikan masyarakat kita," katanya.

"Ramai yang tidak memahami setiap perkara yang kami lakukan sejak empat tahun lepas segala program pembaharuan yang dilaksanakan atau segala-galanya yang kami rancang untuk lakukan dalam penggal akan datang wawasan positif kami bagi Malaysia," katanya.

Najib berkata sudah tiba masanya bagi BN melipatgandakan usaha untuk menambat semula hati pengundi yang merasakan mereka tidak dapat menyokong parti gabungan itu kali ini.

Katanya meskipun berlaku sedikit masalah dengan dakwat kekal, namun pilihan raya umum berlangsung dengan aman dan ia juga sebuah pilihan raya yang bebas serta adil sungguhpun terdapat dakwaan luar biasa yang bertentangan sama sekali.

"Merentasi perbezaan politik, rakyat Malaysia membuktikan bahawa kepercayaan mereka terhadap demokrasi mengatasi komitmen mereka terhadap mana-mana pihak atau fahaman," katanya.

Mengenai bantahan yang diadakan selepas PRU-13, beliau berkata polis memberi tindak balas yang profesional, disertai sentuhan insan, sungguhpun penganjur perhimpunan seringkali tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan dan perkara ini amat dikesali.

"Lebih baik sekiranya mereka dapat mencari jalan untuk menyatakan pendapat selaras dengan kedaulatan undang-undang, bukannya menimbulkan ketegangan.

"Bagaimanapun secara umumnya, bantahan itu berlangsung dengan aman dan teratur. Ini adalah penghormatan kepada kekuatan yang semakin berkembang dalam demokrasi Malaysia," katanya.

Najib berkata sekarang adalah masa untuk menerima keputusan itu dan teruskan melangkah.- BERNAMA

Artikel Lain