suria

Kerajaan Siasat 29 Kes Hina Institusi Raja

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menyiasat sebanyak 29 kes di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 membabitkan kesalahan menghina institusi diraja.

Timbalan Menteri Multimedia dan Komunikasi, Datuk Jailani Johari berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Malaysia Malaysia (SKMM) juga menyekat sebanyak 6,640 laman web di atas pelbagai kesalahan kerana melanggar akta berkenaan.

"Siasatan yang dibuat termasuk ke atas laman web bank palsu, pelanggaran hak cipta, kandungan lucah dan yang didapati menghina institusi diraja," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Khamis.

Beliau menjawab soalan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang bertanya mengenai tindakan kerajaan terhadap beberapa blog yang didapati menggunakan bahasa berbaur hasutan dan fitnah sehingga menimbulkan keadaan huru-hara dan menggugat kestabilan negara.

Mengulas lanjut Jailani berkata SKMM juga mengambil tindakan terhadap laporan mengenai penyalahgunaan laman sosial seperti Facebook dan Twitter berhubung kesalahan berkaitan ugutan, penghinaan atau menyentuh sensitiviti agama.

"Bagaimanapun kita perlukan maklumat yang lengkap daripada pengadu mengenai akaun seperti URL, 'print screen' dan bukti bagi membolehkan aduan mereka disiasat dan diambil tindakan," katanya.

Artikel Lain