suria

Imigresen Melaka Tahan 31 GRO Warga Asing

MELAKA: Jabatan Imigresen Melaka menahan 13 wanita warga asing yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan di dua pusat hiburan di Jalan Taman Melaka Raya di sini, malam Selasa.

Penolong Pengarah Imigresen Melaka, Asani Ladjani berkata, dalam operasi selama enam jam bermula 9 malam itu, 11 wanita warga Vietnam dan dua warga China berusia antara 20 dan 30-an itu ditahan ketika sedang berkaraoke bersama pelanggan.

Katanya, dalam operasi pertama, seramai lapan GRO warga Vietnam ditahan kerana melanggar syarat pas lawatan manakala dalam operasi kedua pada kira-kira 11 malam di pusat hiburan berdekatan, tiga warga Vietnam dan dua warga China ditahan ketika sedang melayan pelanggan.

Menurut Asani, operasi di pusat hiburan kedua itu gagal dijalankan sebelum ini akibat dihalang dan diugut samseng yang diupah pemiliknya.

"Operasi pertama, pada 21 Jun lepas gagal kerana kira-kira 20 wanita warga asing dipercayai GRO dibawa keluar dari premis menaiki tiga van diiringi lebih 10 lelaki menggunakan parang dan kayu sehingga pegawai kita tidak dapat menjalankan tugas," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Beliau berkata ekoran kejadian itu, pihaknya membuat laporan polis sebelum polis bertindak melakukan serbuan, sejam selepas kejadian tersebut.

Katanya, operasi kali kedua yang dilakukan tiga hari kemudian turut gagal kerana tiada warga asing berada di premis berkenaan.

Sementara itu, Asani berkata dalam operasi berasingan malam Selasa, sembilan warga asing termasuk seorang wanita warga Indonesia ditahan dalam dua sebuan di sebuah rumah dan tapak pembinaan di Merlimau.

Wanita berusia 20an berkenaan ditahan bersama dua lelaki warga Indonesia dalam rumah berkenaan manakala enam warga Bangladesh ditahan di tapak pembinaan berhampiran.

Katannya, kesemua mereka ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk melanggar syarat pas, permit atau sempadan pas dan tinggal lebih masa dan dihantar ke depoh tahanan Imigresen Machap Umboo, untuk tindakan lanjut. - BERNAMA

Artikel Lain