suria

Draf Pertama Undang-Undang Pencegahan Khas Dihantar Ke Jabatan Peguam Negara – Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Draf pertama undang-undang pencegahan khas yang menyamai Ordinan Darurat telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Kita sudah pun berbincang dengan Peguam Negara mengenainya.

“Kita akan membuat pengumuman rasmi apabila mereka telah meneliti draf pertama itu,” katanya kepada para pemberita selepas melawat Rumah Perlindungan Sinar Teratak Afidah di Kampung Baru, Khamis.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, perbincangan lanjut masih diperlukan berhubung undang-undang baru itu.

“Masih belum dimuktamadkan kerana kita perlu berbincang mengenai undang-undang baru dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan ahli parlimen kerana terdapat aspek tertentu bagi undang-undang baru yang perlu dipinda,” tambahnya.

Beliau mengulas mengenai laporan baru-baru ini bahawa hampir 2,000 tahanan di bawah Ordinan Darurat telah dibebaskan, yang menyumbang kepada peningkatan jenayah terutama jenayah-jenayah serius.

“Apabila Ordinan Darurat dimansuhkan, ramai penjenayah ini dibebaskan. Sekarang mereka mengambil kesempatan terhadapnya.

“Undang-undang yang diperkenalkan mengekang jenayah perlu mendapat kerjasama daripada semua pihak.

“Rakyat perlu bekerjasama kerana isu jenayah tidak boleh diambil mudah,” katanya.

Artikel Lain