suria

Saman Utusan: Syarikat Bas Sani United Gagal Lagi

KUALA LUMPUR: Syarikat bas ekspres Sani United Berhad pada Rabu sekali lagi gagal dalam tuntutan saman fitnah terhadap syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.

Hakim, Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng menolak saman yang difailkan terhadap syarikat akhbar itu, Editor Kosmo dan dua wartawan Kosmo! Luqman Hakim Ab Rahim dan Kumara Sabapathy di dalam kamar dengan dihadiri peguam Azhar Arman Ali yang mewakili kesemua defendan dan peguam Khairun Niza Husnin bagi pihak syarikat Sani United.

Saman itu berkaitan penyiaran artikel bertarikh 6 Jan 2010 mengenai kemalangan membabitkan bas milik syarikat itu pada 26 Disember 2009.

Pada 18 Jun lepas, mahkamah menolak saman fitnah berkaitan artikel yang sama yang difailkan Sani United terhadap Utusan dan Editor Kosmo! dengan kos RM25,000.

Sementara itu, Azhar memberitahu pemberita bahawa Hakim Hue menolak saman itu setelah mendapati bahawa tiada elemen berniat jahat dan artikel itu melaporkan apa yang benar sepertimana diberitahu oleh Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), yang membatalkan permit bas tersebut.

Syarikat itu memfailkan saman pada 21 Mei tahun lepas dengan mendakwa akhbar Kosmo! menerbitkan artikel palsu berhubung pembatalan permit sebuah bas ekspres milik Sani United.

Dalam pernyataan tuntutannya, syarikat bas itu mendakwa artikel bertarikh 6 Jan 2010 itu diterbitkan susulan keputusan mesyuarat LPKP yang membatalkan permit bas itu selepas berlaku kemalangan.

Dakwanya, kandungan artikel bertajuk 'Sani United kena hukuman berat ekoran nahas ragut 10 nyawa' juga adalah tidak tepat dan tidak benar, seolah-olah pembekuan permit melibatkan kesemua permit bas ekspres, sedangkan hanya satu permit bas Sani Express dibatalkan.

Penyataan pembelaan kedua-dua defendan pula mendakwa artikel itu adalah benar serta diterbitkan demi kepentingan awam, dan bukan bertujuan memalukan atau menjatuhkan reputasi syarikat itu selain disiar selepas pengumuman oleh LPKP.

Sepanjang perbicaraan kes, empat saksi termasuk Pengarah Urusan Kumpulan Sani United iaitu Datuk Wan Mohammad Sani Salleh, memberi keterangan. - BERNAMA

Artikel Lain