suria

Peniaga Diperintah Bela Diri Atas Tuduhan Edar, Miliki Dadah

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini Rabu memerintahkan seorang peniaga membela diri terhadap pertuduhan mengedar dan memiliki dadah dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima face terhadap Ahmad Fadzil Hamzah, 34.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad Fadzil didakwa mengedar 16,471.5 gram dadah (16,321.9 gram heroin dan 149.6 gram monoacetylmorphine) di dalam kereta jenis Mercedez Benz bernombor pendaftaran SA5880J di tepi rumah bernombor 9, kampung Baru, Sungai Kob, Kulim pada 5 Ogos 2011 pukul 1 tengah hari.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dia juga dituduh memiliki dadah jenis kanabis 84.8 gram pada tempat, tarikh dan masa yang sama.

Ahmad Fadzil didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum menurut Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Mohd Zaki menetapkan 28 Julai untuk pihak pembelaan memanggil saksi mereka.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nor Hasnita Wan Daud manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Naran Singh. - BERNAMA

Artikel Lain