suria

Pengedar Dadah Patah Kaki Selepas Cuba Lari Dari Polis

KUANTAN: Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah patah kaki kanan selepas bertindak terjun menerusi tingkap sebuah hotel bajet dekat Sungai Jan, Jerantut pada Selasa.

Dalam kejadian 4.50 petang itu, suspek bertindak demikian untuk melarikan diri dari kepungan polis.

Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Azid Ismail berkata hasil maklumat awam, pihak polis menyerbu ke hotel berkenan.

"Ketika serbuan, terdapat dua lelaki di bilik berkenaan, suspek bertindak terjun menerusi tingkap menyebabkan kaki kanannya patah dan berjaya diberkas polis kemudiannya.

"Manakala seorang lagi suspek, 24, berjaya diberkas di bilik berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Rabu.

Katanya, hasil pemeriksaan di bilik itu polis menemui satu paket plastik berisi serbuk dipercayai dadah jenis heroin seberat 31 gram, dianggarkan bernilai RM2,000.

"Suspek yang berasal dari Temerloh dan patah kaki kanan itu dihantar ke Hospital Jerantut bagi mendapat rawatan," katanya.

Azid berkata kedua-dua suspek itu kini ditahan reman di lokap Balai Polis Temerloh. - BERNAMA

Artikel Lain