suria

Pelaburan Malaysia Di London Meningkat - PM

LONDON: Pelaburan Malaysia di United Kingdom (UK) menunjukkan peningkatan apabila syarikat-syarikat negara, termasuk syarikat berkaitan kerajaan, membuat pelaburan dalam hartanah selain membeli bangunan di London.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia pelabur kedua terbesar di London akan menjadi peserta utama dalam pembangunan hartanah di bandar raya metropolitan itu.

Beliau berkata, antara syarikat yang menunjukkan minat untuk melabur di bandar raya itu ialah Mara, yang kini meninjau beberapa hartanah di London dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan dana yang besar, melihat peluang untuk melabur di sini.

Malah kuota bagi syarikat Malaysia dalam projek pangsapuri Battersea Power Station, dekat sini telah direbut oleh syarikat Malaysia dan lebih banyak lagi syarikat dari Malaysia yang membeli hartanah di bandar raya tersebut, kata beliau.

"Ini bagus bagi ekonomi (Britain)," kata Najib semasa sesi soal jawab dengan media Britain selepas pengumuman rasmi Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) kesembilan di Greater London Authority City Hall di sini pada Rabu.

Hadir sama Datuk Bandar London Boris Johnson, Pengerusi Yayasan WIEF Tun Musa Hitam, Menteri Perdagangan dan Pelaburan Britain Lord Green of Hurstpierpoint dan Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman.

Pada masa ini, pelaburan terbesar Malaysia di UK ialah pembangunan semula stesen janakuasa itu pada kos lapan bilion pound (RM39.2 bilion).

Ia dimiliki konsortium Malaysia yang terdiri daripada KWSP, Sime Darby Bhd dan SP Setia Bhd.

Najib berkata, dengan Forum WIEF pada Oktober ini, yang pertama kali diadakan di luar negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), akan membuka banyak peluang untuk perbincangan antara kedua-dua pihak mengenai kerjasama perniagaan yang akan membawa kepada pelbagai cadangan perniagaan aktif.

Sementara itu, dalam ucapannya, Najib berkata, ekonomi Islam semakin meningkat dengan perbankan Islam muncul daripada sektor yang tidak dikenali kepada perniagaan yang bernilai trilion dolar dengan pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan Islam.

"Halal, yang kebanyakan orang mengaitkannya dengan makanan, meliputi segalanya, daripada farmaseutikal dan logistik hingga ke kosmetik dan pelancongan.Ia merupakan pasaran bernilai AS$2.3 trilion yang disediakan kepada lebih 1.6 bilion umat Islam," kata beliau.

Beliau berkata, peluang bagi London adalah jelas dan itulah salah satu sebab kenapa forum ini akan membawa pemimpin kerajaan dan perniagaan dari dunia Islam dan bukan Islam ke negara ini.

Najib berkata, forum berkenaan juga akan membincangkan peranan wanita dalam perniagaan, bagaimana dapat membantu bandar raya memenuhi cabaran pertumbuhan dan potensi bagi kerjasama mengenai teknologi dan pendidikan.

Ia juga akan membincang peranan kerajaan dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan kepentingan kesederhaan dan toleransi dalam Islam, serta dalam dunia yang lebih luas.

Sementara itu, Musa, dalam ucapannya berkata forum berkenaan, bertajuk "Mengubah Dunia, Hubungan Baharu", akan diadakan di ExCel, Pusat Konvensyen Antarabangsa London.

Lebih 1,500 peserta termasuk pemimpin kerajaan, ketua-ketua industri, ahli akademik dari 100 negara, dijangka menghadirinya, kata beliau.

Beliau berkata, Perdana Menteri Britain David Cameron mengesahkan kehadirannya dan akan mengambil bahagian pada forum itu.

Forum berkenaan yang diharap dapat menghubungkan dunia Islam dan bukan Islam, akan juga membincangkan isu-isu kesihatan dan pendidikan, wanita, belia serta perbankan dan kewangan.

Antara kertas kerja yang akan dibentangkan ialah Menggalakkan Pendidikan Transnasional; Wanita dalam Dunia Korporat dan Cabaran Kesihatan Global. - BERNAMA

Artikel Lain