suria

Najib Mahu Belia Buat Perubahan Dengan Cara Produktif

Najib (kiri) ketika ditemu ramah Jon Sopel di Studio BBC, London.-fotoBERNAMA
Najib (kiri) ketika ditemu ramah Jon Sopel di Studio BBC, London.-fotoBERNAMA
Najib (kiri) ketika ditemu ramah Jon Sopel di Studio BBC, London.-fotoBERNAMA

LONDON: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa golongan belia yang sanggup membuat perubahan, agar melakukannya dengan cara yang produktif.

Beliau berkata bagi mereka yang mahu membuat perubahan dengan membawanya ke jalan raya, mereka seharusnya tahu sama ada ia akan menjadikan negara lebih baik atau sebaliknya.

Najib berkata demikian ketika melancarkan Pusat Outreach antarabangsa pertama 1Malaysia for Youth (iM4U) di Rumah Malaysia di sini Selasa malam.

Beliau berkata pembukaan pusat itu, dengan kerjasama Majlis Pelajar Malaysia United Kingdom dan Eire (Ireland) (UKEC), di London adalah satu lagi tanda kejayaan iM4U.

Najib, yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah iM4U, berkata untuk membantu memulakan kerjasama antara UKEC dan iM4U, geran sebanyak 10,000 pound (RM48,234) dari Tabung DRe1M iM4U akan diguna untuk 10 inisiatif pertama outreach.

"Penuntut di UK boleh memohon peruntukan itu melalui Persatuan Penuntut Malaysia di universiti masing-masing atau melalui UKEC secara terus," katanya.

Najib berharap iM4U akan menjadi permulaan untuk satu pergerakan lebih besar yang boleh membawa perubahan ke arah kebaikan dalam masyarakat dan negara.

"Apabila iM4U diwujudkan, saya impikan pertubuhan itu akan menjadi besar. Saya mahu iM4U ke peringkat global. Saya impikan bahawa satu hari nanti belia negara kita dan negara lain akan bersatu dalam usaha untuk membantu bukan sahaja antara satu sama lain, tetapi juga masyarakat keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata pada masa itu, dengan semangat idealisme yang segar, rakyat Malaysia dan negara lain akan bersatu dalam berusaha ke arah kesempurnaan yang mencerminkan semangat kesukarelaan dalam diri mereka.

Sejak dilancarkan tahun lepas, iM4u mempunyai 100,000 anggota berdaftar dan melalui kerjasama dengan UKEC, ia memperoleh tambahan 17,000 anggota, termasuk 2,000 di Ireland, katanya.

Najib berkata kerjasama iM4U dengan UKEC akan meningkatkan hubungan positif antara penuntut Malaysia di UK dan mereka yang sedang menuntut dalam negara melalui penyertaan dalam projek-projek kesukarelaan.

"Daripada pengetahuan saya, UKEC menganjurkan program cuti musim panas di Malaysia untuk ahlinya melalui unit UKECares dan saya harap untuk membina sinergi antara dua pertubuhan itu bagi meningkatkan lagi semangat sukarelawan," katanya.

Najib berkata penubuhan pusat antarabangsa itu adalah hasil permintaan daripada golongan belia dan UKEC, dan ini menunjukkan belia Malaysia yang sedang menuntut di luar negara berada di laluan yang betul dalam mengembangkan semangat sukarelawan dan pembangunan komuniti.

"Perkembangan iM4U tidak akan berakhir di UK, sebenarnya rancangan sedang dibuat untuk membuka lebih banyak Pusat Outreach di peringkat antarabangsa di beberapa negara seperti Mesir, Indonesia, Australia dan Amerika Syarikat," katanya.

Bagi iM4u, tiada sempadannya, kata Najib sambil melahirkan harapan agar pengurusan iM4U di Malaysia mempunyai perancangan untuk meniupkan lagi semangat sukarelawan dengan melaksanakan pelbagai aktiviti yang dinamik.

Najib turut mengumumkan bahawa aplikasi iM4U Mobile akan dilancar pada 21 Julai.

Ia dilihat sebagai langkah pertama dalam membina sukarelawan ekosistem dalam masyarakat berdasarkan platform di mana sukarelawan boleh menyesuaikan inisiatif mereka, dan rangkaian dengan individu lain yang mempunyai minat sama.

Dengan memuat turun aplikasi itu, iM4U juga akan memberikan ganjaran kepada sukarelawan berdasarkan jumlah aktiviti sukarela yang disertai. Ganjaran boleh berbentuk daripada tiket konsert hingga kepada telefon pintar baharu. - BERNAMA

Artikel Lain