suria

Sistem Undi Popular Boleh Timbulkan Kebencian Rakyat - Adun Sg Panjang

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi berkata, sistem undi popular yang diuar-uarkan Pakatan Rakyat boleh menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan sedia ada.

“Saya lihat sistem undi popular menjadi panas sejak Pilihan Raya Umum-13, (PRU-13) berakhir, ini boleh menimbulkan kebencian rakyat kerana mereka (Pakatan Rakyat) dakwa mereka sepatutnya tubuhkan kerajaan pusat.

“Kita tidak menolak keterujaan pemimpin Pakatan Rakyat namun perlu diingatkan bahawa kita mengguna pakai sistem demokrasi berparlimen,” katanya ketika membahaskan titah ucapan Sultan Selangor di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Selasa.

Beliau berkata, sekiranya Pakatan Rakyat tidak mengiktiraf keputusan PRU-13 bagaimana pula mereka mengiktiraf kejayaan mereka membentuk kerajaan negeri di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.

“Adakah ini adil? Pakatan Rakyat tidak pula mempertikai keputusan PRU-13 di tiga negeri ini, tapi bila tidak dapat bentuk kerajaan pusat mereka mainkan isu undi popular untuk raih sokongan rakyat,” katanya.

Statistik keputusan PRU-13 menunjukkan Barisan Nasional (BN) memperoleh 47.38 peratus (5,237,699 undi) undi popular berbanding pakatan pembangkang yang memiliki 50.87 peratus (5,623,984 undi) di peringkat nasional.

Sementara undi popular di Semenanjung pula menunjukkan BN mendapat 45.74 peratus berbanding pakatan pembangkang (53.29 peratus).

Isu undi popular digunakan oleh pemimpin Pakatan Rakyat sebagai modal kempen politik mereka dengan mendakwa pakatan pembangkang layak menerajui negara ini kerana mereka memperoleh peratusan undi yang lebih banyak daripada BN.

Mereka mendakwa kerajaan BN menerajui negara tanpa mendapat sokongan daripada majoriti rakyat di Malaysia.

Artikel Berikut

Artikel Lain