suria

Rogol Bawah Umur: Sampel Air Mani Sepadan Dengan Profil DNA Tertuduh

KOTA KINABALU: Mahkamah Seksyen di sini, yang mendengar kes lelaki dituduh merogol budak perempuan yang kemudian dikahwininya, diberitahu sampel air mani didapati sepadan dengan profil asid deoksiribonukleik (DNA) tertuduh.

Pegawai Sains Rina Md Nawi, 27, dari Jabatan Kimia Kuching berkata kesan air mani yang ditemui pada tiga eksibit yang dianalisis didapati sepadan dengan DNA tertuduh berdasarkan hasil ujian DNA terhadap sampel darah tertuduh.

"Dalam kes ini, pelapik dan dua sapu tangan hanya mengandungi DNA yang dilabel atas nama Riduan Masmud (tertuduh)," katanya sambil menunjukkan barang-barang kes itu di hadapan Hakim Ummu Khatom Abd Samad.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin pada perbicaraan Riduan Masmud, 40, yang didakwa merogol gadis berusia 12 tahun enam bulan itu dalam kereta yang diparkir di tepi jalan di Inanam, Sabah pada kira-kira 10 pagi, 18 Februari lepas.

Katanya terdapat campuran profil DNA lelaki dan wanita pada "cotton swab" yang dianalisis.

Katanya sumber darah yang masing-masing dilabelkan atas nama Riduan dan nama mangsa adalah sepadan dengan profil lelaki dan wanita yang menyumbang kepada campuran profil DNA itu.

Kepada soalan lain Raja Zaizul Faridah, Rita berkata DNA seseorang yang pernah berada di sesuatu tempat untuk ditemui di tempat itu adalah tinggi.

Riduan didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

Pada 21 Mei lepas, mahkamah diberitahu bahawa Riduan telah mengahwini gadis itu yang menimbulkan pelbagai reaksi memandangkan gadis itu di bawah umur.

Peguam Loretto J. Padua mewakili tertuduh manakala Datuk Mariati Robert dari Persatuan Undang-undang Sabah dan Mary Florence Gomez dari Voice of The Children Malaysia bertindak sebagai peguam pemerhati. Perbicaraan bersambung esok. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain