suria

RCI Sabah Diberitahu Bahagian Integriti Diwujudkan Di Jabatan Imigresen

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di Sabah di sini pada Selasa diberitahu bahawa satu bahagian diwujudkan untuk memantau integriti petugas dan perkhidmatan Jabatan Imigresen.

Ketua pengarah imigresen Datuk Alias Ahmad berkata penubuhan bahagian yang ditadbir seorang pegawai daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu bertujuan meningkatkan kepercayaan orang ramai terhadap perkhidmatan jabatan berkenaan, di samping menambah baik prestasi anggotanya.

"Saya akui, kami ada kekangan. Tapi, kami sentiasa cuba memperbaiki perkhidmatan kami.

"Kami memberi fokus kepada manusia (petugas) dan bagaimana untuk menjadikan mereka memiliki integriti paling tinggi," katanya.

Menjawab soalan pegawai pengendali Manoj Kurup tentang dokumen imigresen palsu, Alias berkata ia tidak mungkin dikeluarkan petugas jabatan itu.

Katanya jabatan itu menyimpan rekod mereka yang keluar dan masuk ke negara ini setiap masa.

"Sebanyak 300 juta migrasi berlaku pada satu-satu masa di dunia dan Malaysia tidak terkecuali daripadanya.

"Agak sukar untuk mengesan orang yang keluar masuk melalui begitu banyak pintu masuk, tanpa adanya sistem yang sewajarnya," kata beliau.

Alias berkata Jabatan Imigresen menggunakan sistem biometrik di semua pintu masuk negara ini untuk merekod pengaliran mereka yang keluar dan masuk ke Malaysia, di samping untuk mempercepatkan urusan imigresen.

Menjawab soalan Manoj sama ada wujud kes pemalsuan pasport Malaysia, beliau berkata hanya terdapat sejumlah kecil kes seperti itu kerana pemalsuan pasport Malaysia sukar untuk dilakukan.

"Pasport Malaysia palsu selalunya dihasilkan di luar negara ini, seperti di China.

"Bagaimanapun, pasport ini tidak boleh digunakan di Malaysia kerana pasport Malaysia yang sah mempunyai cip keselamatan," katanya.

Sementara itu, Marthen Salempang, 63, yang lahir di Toraja, Sulawesi Selatan, Indonesia dan datang ke Sabah pada 1970, memberitahu siasatan itu bahawa dia tidak sedar perbuatannya memohon kad pengenalan (KP) Malaysia merupakan suatu kesalahan.

Apabila pegawai pengendali Jamil Aripin bertanya bagaimana perasaannya jika kerajaan membatalkan KP Malaysia yang dimilikinya, lelaki ini berkata dia akan memohon KP penduduk tetap kerana ingin terus tinggal di Malaysia.

"Saya mengaku kesalahan saya. Tapi, saya sudah tak ada lagi saudara mara di Sulawesi," katanya.

Ahmad Soso, 53, yang lahir di Bone, Sulawesi Selatan dan mendapat KP Malaysia dengan cara tidak sah, berkata dia akan mematuhi cadangan kerajaan sekiranya KP Malaysianya dibatalkan.

Pendatang ini memberitahu siasatan berkenaan bahawa dia tidak menyedari butiran yang terkandung di dalam KP yang dikeluarkan kepadanya adalah palsu, termasuk tempat kelahirannya.

Lelaki ini berkata dia berharap butiran tentang dirinya akan diperbetul dalam KP penduduk tetap atau MyPR apabila dia momohonnya kelak.

Pengerusi RCI itu, bekas hakim besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong berkata adalah tidak adil untuk menyalahkan sepenuhnya para pendatang berkenaan kerana memiliki kad pengenalan dengan cara yang salah.

"Asalkan ia (kad pengenalan) dikeluarkan pihak berkuasa berkenaan, ia dianggap sah oleh mereka (pendatang), walaupun butirannya tidak tepat. Persoalannya ialah, siapakah yang patut dipersalahkan?" katanya.

Panel itu turut dianggotai bekas naib canselor Universiti Malaysia Sabah Prof Datuk Dr Kamaruzzaman Ampon, bekas ketua polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas setiausaha kerajaan negeri Sabah Datuk KY Mustapha dan bekas timbalan ketua menteri Sabah Tan Sri Herman J Luping, yang juga bekas peguam besar negeri.

Siasatan bersambung esok. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain