suria

DAP Desak PM Buka Semula Kes Teoh Beng Hock

SHAH ALAM: DAP mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi arahan agar membuka semula kertas siasatan berhubung kematian bekas pembantu Exco Selangor, Teoh Beng Hock supaya suspek yang berkaitan dihadapkan ke muka pengadilan.

Setiausaha DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah berkata keluarga mendiang dan rakyat Malaysia masih menunggu penjelasan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana sehingga hari ini tiada seorang pun pegawai penyiasat dalam kes berkenaan didakwa.

"Sehingga hari ini, keluarga Beng Hock dan rakyat Malaysia masih menunggu penjelasan penuh daripada SPRM dan kerajaan mengenai sebab seorang saksi mati tanpa sebab di bawah kawalan dan pengawasan ketat.

"Kematian Beng Hock bukan sesuatu yang misteri tetapi kami percaya ada sesetengah pihak sengaja ingin menyembunyikan kisah benar daripada rakyat," katanya dalam sidang media di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini Selasa.

Sementara itu, Ean yang juga Exco Perindustrian dan Perdagangan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram Selangor berkata, DAP akan menganjurkan 'Majlis Memperingati Pemergian Mendiang Teoh Beng Hock' sempena ulang tahun keempat tragedi kematian mendiang pada Ahad 14 Julai depan.

Beliau berkata, majlis itu akan diadakan di Nirvana Memorial Park, Semenyih pada pukul 8.30 pagi dan orang ramai dijemput menghadirinya.

Mendiang Beng Hock dipanggil ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di tingkat 14 Plaza Masalam di sini pada 15 Julai 2009 sebagai saksi untuk membantu siasatan tetapi ditemui mati pada keesokan harinya di koridor tigkat 5 bangunan sama.

Keputusan inkues bagaimanapun mendapati kematian Beng Hock bukan disebabkan bunuh diri, homisid atau penglibatan pihak ketiga.

Sementara itu, Ean turut menggesa kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) bagi mengelakkan lebih banyak kes kematian dalam tahanan.

"Saya berasa amat sedih dan kecewa bukan sahaja disebabkan keadilan untuk Beng Hock masih tidak dapat ditegakkan malah kes-kes kematian tahanan dalam lokap masih tidak dapat dihentikan,” katanya.

Menurutnya, jumlah kematian dalam tahanan sejak tahun 2000 ialah 219, satu angka yang mengejutkan dan pasti akan terus bertambah jika tambah sebarang langkah dan meaknisme untuk menghalangnya melainkan (IPCMC) ditubuhkan.

Artikel Berikut

Artikel Lain