suria

Cadangan Tukar Agama Kanak-Kanak Berdasarkan Pandangan Pelbagai Pihak & Keputusan Mahkamah - Jamil Khir

KUCHING: Cadangan untuk membenarkan salah seorang daripada ibu atau bapa untuk menukar agama anak di bawah umur kepada Islam dibuat selepas meneliti pandangan daripada pelbagai sudut hasil maklum balas pelbagai pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata selain itu cadangan dibuat berdasarkan penghakiman Mahkamah Persekutuan dan peruntukan Perlembagaan.

"Kita sedang meneliti semua pandangan dari pelbagai sudut, dari pelbagai pihak sebelum cadangan dibuat. Selain itu pandangan turut diambil dari kes-kes mahkamah, termasuk dalam satu kes mahkamah persekutuan di mana kes melibatkan Subashini Rajasingam, dalam kes itu penakrifan perkataan 'parent', adalah cukup bermaksud dengan salah seorang iaitu ibu atau bapa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan pindaan ke atas Seksyen 107(b) Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 pada sidang media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen ke-11 Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS), di sini, Selasa.

Majlis Konvokesyen melibatkan 97 orang pelajar menerima Diploma Pengajian Islam dan Dakwah serta 20 orang pelajar menerima Sijil Program Persijilan Asas Pengajian Islam (PERAPI) disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin.

Mengikut cadangan pindaan Seksyen l07 (b) yang dibacakan pertama kali di Dewan Rakyat, persetujuan salah seorang daripada ibu atau bapa memadai untuk menukar agama kanak-kanak di bawah umur kepada Islam. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain