suria

Bot Ekspres 'Kawan Mas' Karam Akibat Beberapa Kemalangan

KUCHING: Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak telahpun mengemukakan laporan mengenai kemalangan melibatkan bot ekspres 'Kawan Mas' di Sungai Rajang dekat Giam Bungan, Belaga bulan lepas kepada Kabinet negeri, yang mengesahkan terlebih penumpang bukanlah punca bot itu terbalik, kata menteri berkenaan, Datuk Seri Michael Manyin.

Beliau berkata input daripada polis, jabatan marin, Lembaga Sungai-sungai Sarawak (SRB) dan pengusaha bot ekspres menunjukkan bahawa bot itu, yang sarat dengan lebih 200 penumpang, terbalik pada 28 Mei disebabkan beberapa siri kemalangan, termasuk terlanggar balak dan mengalami kerosakan enjin yang mengakibatkan bot itu hanyut serta terlanggar batu tenggelam.

"Susulan mesyuarat yang diadakan di Sibu baru-baru ini, agensi berkaitan di samping pengusaha feri dan bot ekspres diarah mencari penyelesaian bagi mengelak berulangnya kemalangan serupa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kejuruteraan Antarabangsa (ENCON 2013) keenam, anjuran fakulti kejuruteraan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini.

Sejumlah 213 penumpang terselamat dalam kemalangan itu, dua hilang manakala seorang disahkan meninggal dunia apabila 'Kawan Mas' karam, bot yang diberi kebenaran membawa hanya 64 penumpang tetapi sarat dengan lebih 200 penumpang yang pulang ke kampung halaman bagi menyambut festival tahunan Gawai Dayak.

Beliau berkata pada masa ini tiada perancangan bagi pengusaha bot meletakkan bot tambahan untuk tunggu sedia terutamanya semasa musim perayaan memandangkan langkah itu tidak berdaya maju dari segi ekonomi.

Ini disebabkan sebuah bot ekspres itu berharga sekurang-kurangnya RM2 juta dan penumpang pada hari biasa amat kurang, purata tujuh hingga 11 orang dan hanya berulang-alik di sepanjang Sungai Rajang.

Beliau berkata mustahil untuk mengikuti prosedur operasi standard syarikat penerbangan yang mendaftar penumpang sebelum menaiki pesawat memandangkan syarikat penerbangan memenuhi keperluan pasaran penumpang golongan atasan, berbeza dengan penduduk kampung yang terpaksa bergantung kepada pengangkutan sungai, termasuk bot ekspres, dan oleh itu tiada senarai penumpang yang tersedia. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain