suria

Tukang Cat Maut Ditembak Dari Jarak Dekat

NIBONG TEBAL: Seorang tukang cat maut selepas ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki yang tidak dikenali di sebuah restoran di Taman Seri Emas, di sini petang Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata ketika kejadian pukul 3.15 petang itu mangsa, Loh Hooi Tiong, 48, bersama tujuh rakannya sedang minum di restoran berkenaan.

"Menurut beberapa saksi, dua lelaki yang tidak dikenali menaiki sebuah motosikal dan memakai topi keledar penuh meletakkan kenderaan mereka itu di simpang jalan iaitu kira-kira 20 meter dari restoran tersebut.

"Salah seorang suspek datang ke arah mangsa lalu melepaskan empat das tembakan dan ia mengenai mangsa," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini, Ahad.

Katanya sebaik melepaskan tembakan, lelaki itu terus melarikan diri dengan rakannya menggunakan motosikal yang ditinggalkan di simpang jalan.

Mazlan berkata mangsa yang cedera itu dikejarkan ke Hospital Parit Buntar (HPB), dekat sini dan dilaporan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan .

Katanya susulan kejadian itu, polis menahan tujuh lelaki berusia 30 hingga 45 tahun bagi membantu siasatan.

"Motif kejadian masih belum diketahui tetapi polis tidak menolak kemungkinan ia berkaitan dendam dan perniagaan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain