suria

Rakyat India Sorok Dadah Dalam Selongsong iPad Ditahan Di LCCT

SEPANG: Kastam menahan seorang rakyat India di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini dan merampas dadah jenis methamphetamine bernilai RM1.8 juta yang disorok dalam selongsong iPad.

Lelaki berusia 31 tahun yang baru tiba dari Kolkata, India itu ditahan pada pukul 1 pagi, 25 Jun selepas imbasan terhadap beg yang dibawanya menemui imej mencurigakan.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Datuk Chik Omar Chik Lim berkata dadah seberat 9.55 kilogram itu disembunyikan dalam 29 selongsong iPad yang dibawa lelaki terbabit.

"Hasil pemeriksaan, kami menemui serbuk putih disyaki methamphetamine yang disorok dalam 29 bekas iPad," katanya pada sidang akhbar di sini, Isnin.

Beliau berkata lelaki terbabit direman 10 hari untuk siasatan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Chik Omar berkata pada awal bulan ini, Kastam menahan dua lelaki rakyat India di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan merampas dadah jenis ketamine yang ditemui diikat di betis dan pinggang mereka.

Lelaki berusia 25 dan 31 tahun itu ditahan pada 6 Jun selepas tiba dari Colombo, Sri Lanka, katanya.

Beliau berkata lelaki berusia 25 tahun ditahan pada 7.35 pagi dengan dadah seberat 3.6 kg bernilai RM126,000, manakala lelaki berusia 31 tahun yang membawa 3.25 kg dadah bernilai RM113,750 pula ditahan lima minit kemudian.

Sementara itu, Chik Omar berkata Kastam menemui dadah jenis methamphetamine seberat 6.6 kg dengan anggaran nilai RM1.25 juta dalam bungkusan dari India yang diterima di Pusat Pos Laju KLIA.

Bungkusan itu mengandungi 40 paket santan dan hasil pemeriksaan mendapati 19 daripada paket santan itu mengandungi dadah, katanya sambil memberitahu bahawa siasatan masih dijalankan untuk mengesan pemilik dagangan itu.

Dalam kes berasingan, Chik Omar berkata seorang lelaki Pakistan ditahan pada pukul 1 tengah hari Isnin lepas di KLIA kerana disyaki menyeludup mata wang asing sebanyak Rupee 4 juta atau RM212,096.

"Pemeriksaan sebuah bagasi yang dibawanya menemui 8,000 keping wang kertas dalam nilai Rupee (India) yang disorok dalam baju, tin biskut dan 'tempat rahsia' di bahagian bawah bagasi," katanya.

Chik Omar berkata pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu gagal membuat ikrar ke atas semua wang yang dibawanya selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 135(1) (a) Akta Kastam 1967. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain