suria

PKR Tolak Cadangan Guan Eng Boikot PRK Besut

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak cadangan sekutu mereka dalam pakatan pembangkang iaitu DAP supaya PAS memboikot pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, parti itu bersetuju supaya PAS meletakkan calon mereka bertanding di kerusi berkenaan menentang Barisan Nasional (BN).

"Itu adalah pandangan peribadi dan beliau akan usulkan kepada Majlis Pakatan...kita akan dengar alasan beliau.

"Tapi di pihak PKR, ketetapan dibuat semalam bahawa kita akan menyokong calon PAS yang akan terus kekal di Kuala Besut.

"Kita arahkan PKR Terengganu dan jabatan pilihan raya PKR Pusat untuk mengerahkan jentera pilihan raya bagi membantu memenangkan calon PAS," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, Isnin.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada Ahad yang mencadangkan PAS supaya memboikot PRK Kuala Besut bagi membantah 'taktik kotor' oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Sementara itu mengulas mengenai tuntutan Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail yang mahu PAS memberi laluan kepada parti itu bertanding di DUN Kuala Besut, Mohamed Azmin berkata beliau menghormati pandangan berkenaan.

"Kita dengar pandangan PKR Terengganu, kita hormati tuntutan yang dibuat.

"Tapi kita putuskan DUN Kuala Besut akan terus dipertahankan PAS," katanya.

PRK Kuala Besut akan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dr. A. Rahman Mokhtar pada 26 Jun.

Pada PRU-13 5 Mei lalu, Dr. A. Rahman mempertahankan kerusi Kuala Besut untuk BN dan menewaskan calon PAS, Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain