suria

Permaisuri Agong Lawat Azizan Di HPP

GEORGE TOWN: Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah pada Isnin menziarahi bekas menteri besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak yang masih dirawat di Unit Rawatan rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.

Baginda yang diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Farizan Darus tiba di HPP pada 11.15 pagi dan meluangkan masa kira-kira 10 minit menziarahi Azizan dalam wad ICU itu.

Ketibaan Tuanku Hajah Haminah disambut isteri Azizan, Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah dan anak-anaknya.

Sementara itu, anak Azizan, Rahmah, 33, berkata bapanya memberi respons dan sentiasa senyum selepas Tuanku Hajah Haminah bertanya khabar beliau.

"Keadaannya semakin pulih walaupun tidak boleh bercakap berikutan tiub di lehernya, beliau memberikan respons dan kita faham apa yang beliau ingin cakap berdasarkan pergerakan bibirnya," katanya kepada pemberita selepas lawatan Tuanku Hajah Haminah, di sini, Isnin.

Rahmah berkata, mereka sekeluarga tidak bercadang memindahkan bapanya ke hospital lain kerana pasukan perubatan HPP menasihatkan supaya beliau dirawat di situ sehingga sembuh sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

"Dari segi perkembangan kesihatannya, ia bertambah baik namun masih dipantau rapi doktor di sini. Ingatan ayah juga masih kuat dan kenal sesiapa yang melawatnya," katanya.

Azizan, 73, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Limau, menjalani pembedahan memotong kedua-dua belah kakinya akibat komplikasi penyakit kencing manis pada awal Mei lepas.

Beliau dipindahkan ke HPP pada 8 Mei dari Kedah Medical Centre selepas dirawat kerana jangkitan kuman pada kakinya dua hari sebelum itu.

Azizan yang juga, bekas Pesuruhjaya PAS Kedah melepaskan jawatan Menteri Besar Kedah berikutan kekalahan pakatan pembangkang kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, 5 Mei lalu.

Antara pemimpin yang telah melawat Azizan ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Besar Kedah yang baru Datuk Mukhriz Tun Mahathir, Pengerusi BN Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain