suria

PDRM Tambah Anggota, Logistik Di Esscom - Bakri Zinin

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambah keanggotaan dan logistik di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagi memastikan segala operasi dan pengawalan 'Operasi Sanggah' dapat dilaksana sepenuhnya.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata penambahan itu melibatkan penubuhan batalion dan briged bagi memastikan kawasan berkenaan dapat dikawal dengan lebih baik.

"Kami (PDRM) sedang buat perancangan rapi mengenai perkara itu tetapi kami tidak boleh dedahkan berapa jumlah keanggotaan yang kami akan tempatkan di ESSCOM kerana masih dalam perancangan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program derma darah sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-206 di sini, Isnin.

Beliau berkata PDRM akan terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dalam memastikan keselamatan negara, terutama di kawasan yang bersempadan dengan negara jiran, dapat dikawal.

Sabtu lepas, Operasi Daulat yang dilancar pada 5 Mac lepas bagi memerangi kumpulan pengganas Sulu yang menceroboh Kampung Tanduo di Lahad Datu, Sabah dinamakan Operasi Sanggah. Perubahan nama itu dibuat sempena penyerahan rasmi Operasi Daulat kepada ESSCOM yang disempurnakan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman pada majlis perbarisan penghargaan operasi berkenaan di Felda Sahabat 16, Lahad Datu.

Terdahulu, ketika berucap pada program derma darah, Mohd Bakri berkata ia diadakan demi kepentingan masyarakat dan dilihat sebagai satu cabang tanggungjawab yang mesti dilaksanakan anggota polis yang mampu berbuat demikian.

"Sebagai anggota polis yang sering berdepan dengan mangsa yang cedera parah, tentulah sensitiviti mengenai keperluan untuk menderma darah adalah lebih terserlah (dalam kalangan polis) berbanding pihak yang hanya membaca laporan mengenainya," kata Mohd Bakri.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Darah Negara Dr Roshida Hassan berkata 3,000 unit darah diperlukan setiap minggu untuk diedar bagi kegunaan hospital kerajaan dan swasta di sekitar Lembah Klang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain