suria

Dewan Rakyat Kecoh Surendran Bangkit Isu Kematian Kugan

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat pada Isnin kecoh apabila Ahli Parlimen Padang Serai (PKR) N. Surendan terus membangkitkan isu kematian suspek pencuri kereta A.Kugan ketika berada dalam tahanan polis.

Mendakwa ianya bersifat subjudis, ahli Parlimen Kinabatangan (BN) Datuk Bung Mokhtar Radin bangkit dan membidas tindakan tersebut.

"Isu ini masih di mahkamah sebab kerajaan masih ada waktu untuk usul rayuan. Sebagai seorang peguam dia tidak boleh bawa usul ini sebab prejudis dan harus diberhentikan.

"Subjudis suruh dia berhenti dan jangan berucap lagi, " laungnya.

Beberapa ahli Parlimen BN turut menyokong kenyataan Bung.

Bagaimanapun, isu itu tetap dibahaskan Surendran yang menegaskan bahawa kes itu telah diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan beliau hanya menyentuh mengenai keputusan itu.

Kekecohan yang berlarutan lebih kurang 10 minit itu juga menyebabkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ismail Mohamed Said meminta Surendan berhenti membahaskan isu berkenaan mengikut Peruntukan Peraturan-Peraturan Mesyuarat 23 (1) (G) bahawa kes yang masih dalam pertimbangan mahkamah tidak boleh dibincangkan.

"Saya difahamkan kes ini telah dibuat rayuan di mahkamah yang lebih tinggi lagi. Saya nasihatkan Padang Serai sila beralih ke tajuk lain," katanya.

Minggu lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bertanggungjawab terhadap kematian Kugan empat tahun lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain