suria

Sokongan Penduduk Bandar Kepada Pembangkang Punca BN Hilang Sibu, Lanang

SIBU: Barisan Nasional (BN) kehilangan kerusi Parlimen Sibu dan Lanang pada pilihan raya umum ke-13 baru-baru ini kerana penduduk di kawasan bandar lebih cenderung menyokong pembangkang.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh berkata bagaimanapun, penduduk kawasan luar bandar seperti di Bawang Assan dan Dudong masih menyokong BN.

"Kerajaan BN amat menghargai dan berterima kasih atas sokongan kuat yang berterusan itu. Kekalahan kita adalah disebabkan pengundi bandar dan bukan kaum Iban, Melayu atau Melanau," katanya kepada 96 ketua rumah panjang dan pemimpin masyarakat dari Bawang Assan di sini Ahad sebelum menyampaikan geran pembangunan kerajaan fasa pertama berjumlah RM350,000.

Anggota Dewan Undangan Negeri Bawang Assan itu berkata BN akan melakukan yang terbaik untuk memenuhi semua aku janji yang dibuat ketika berkempen.

"Bagi Bawang Assan, keutamaan saya ialah menaik taraf jalan sedia ada, membina lebih banyak jalan raya dan membekalkan lebih banyak air dan tenaga elektrik," katanya. Wong juga berkata beliau bertanggungjawab untuk cuba mendapatkan geran pembangunan bagi meliputi lebih banyak kawasan.

Sementara itu, satu analisis oleh sayap bumiputera Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mendapati kira-kira 83.6 peratus pengundi Iban di Bawang Assan memilih calon BN bagi kerusi Parlimen Sibu.

Pengerusinya, Andrew Shilling berkata penyokong BN perlu bersedia dari sekarang untuk pilihan raya negeri yang dijangka diadakan menjelang 2016 atau lebih awal.

Ini kerana pembangkang terutama DAP sudah mengumumkan hasratnya untuk bertanding di lebih banyak kawasan majoriti kaum Dayak bagi menawan kerajaan negeri.

Andrew, yang juga setiausaha politik Ketua Menteri, berkata adalah mustahil untuk DAP menukar kerajaan negeri kerana majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri adalah di kawasan yang kebanyakan penduduknya adalah bumiputera.

"Mereka sentiasa menjadi penyokong kuat BN kerana mereka tahu hanya BN mampu membantu mereka untuk maju dan makmur dalam kehidupan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain