suria

Muhyiddin Mahu BN Segera Mulakan Kerja Hadapi PRU-14

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu pemimpin Barisan Nasional (BN) segera memulakan gerak kerja untuk memastikan pencapaian lebih cemerlang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kelak.

"Tempoh lima tahun bukan satu tempoh yang panjang untuk menentukan pencapaian yang lebih besar (dan) kita telah mulakan kerja kita untuk PRU-14 sekarang ini, bukan esok.

"Ada orang kata kita baru habis pilihan raya, (jadi) kita penat, saya pun penat...tapi selepas satu tempoh di mana berehat sudah habis, maka tugas dan tanggungkawab kita sudah ada tersedia di hadapan kita," katanya.

Muhyiddin, yang juga Pengerusi BN Wilayah Persekutuan, berkata demikian pada majlis kesyukuran dan penghargaan jentera BN Wilayah Persekutuan di Padang Kejiranan Ayer Panas, Setapak, di sini Sabtu.

Turut hadir Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Penerangan BN Datuk Ahmad Maslan.

Muhyiddin turut memberi jaminan bahawa segala yang dijanjikan dalam Aku Janji BN pada PRU-13, 5 Mei lepas, akan ditunaikan dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Kita akan terus bekerja (bermula) sekarang untuk menentukan mereka (rakyat) percaya dan yakin kepada kita dan sampai waktu nak mengundi, mereka akan pilih BN," katanya.

Beliau juga mahu anggota Parlimen BN yang telah terpilih pada PRU13, terutama dari Wilayah Persekutuan, menjalankan tanggungjawab mereka sebaik mungkin dan beliau yakin mereka mampu melakukannya.

"Di kawasan yang kita belum menang lagi, kita tidak harus berputus asa kerana tanggungjawab kita di hadapan adalah amat besar sekali," katanya.

Pada PRU-13, BN kekal di kerusi Parlimen Putrajaya, Labuan dan Setiawangsa, serta merampas kerusi Parlimen Titiwangsa daripada PAS.

Muhyiddin menarik perhatian parti-parti komponen BN dan juga bahagian tertentu perlu menyelesaikan segala masalah dalaman dengan segera selain perlu memperkukuhkan kerjasama dengan misi untuk menawan semula kawasan-kawasan yang dirampas pembangkang.

Dalam pada itu, beliau berkata tindakan 89 anggota Parlimen pembangkang, yang pada asalnya mewar-warkan akan memboikot majlis angkat sumpah anggota Parlimen di Dewan Rakyat baru-baru ini, hanyalah "permainan wayang" pakatan pembangkang.

"...mereka secara hakikinya menerima keputusan pilihan raya (kerana) ahli-ahli Parlimen mereka datang ke Parlimen dan semuanya mengangkat sumpah di hadapan Speaker (Dewan Rakyat).

"Keputusan pilihan raya ini sesuatu yang mereka tak boleh nafikan dan mereka harus terima (bahawa) mereka dibuang rakyat dalam proses pilihan raya yang telus dan betul," tegasnya. BERNAMA

Artikel Lain