suria

Ganjaran Pemberi Maklumat Rasuah Hanya Untuk Penjawat Awam

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ahad menjelaskan ganjaran kerana memberi maklumat mengenai penawaran, pemberian atau penerimaan rasuah hanya diberikan kepada penjawat awam.

"Pengiktirafan itu diberi kepada mana-mana penjawat awam yang melaporkan mengenai penawaran atau pemberian rasuah untuk meningkatkan, menggalakkan dan sebagai motivasi kepada mereka mengikut garis panduan yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara berkuatkuasa 1 Jun 2011," demikian menurut kenyataan SPRM Kedah kepada Bernama berhubung laporan akhbar mengenai perkara itu Khamis lepas.

Menurut kenyataan itu pengiktirafan itu hanya diguna pakai untuk penjawat awam sahaja dan peruntukan kepada orang awam tidak termasuk dalam garis panduan ini.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyatakan ganjaran untuk orang awam yang melapor atau memberi maklumat mengenai rasuah kepada agensi itu.

Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Ketua Penolong Pengarah (Siasatan) SPRM Kedah Yusof Shamsudin bahawa pemberian ganjaran kepada pemberi maklumat menggalakkan orang ramai dan penjawat awam tampil menyalurkan maklumat kepada SPRM. - BERNAMA

Artikel Lain