suria

Jabatan Kesihatan Selangor Tahan Seorang Lelaki, Rampas Produk Kecantikan

SHAH ALAM: Jabatan Kesihatan Selangor menahan seorang lelaki berusia 40 tahun dan merampas produk kecantikan bernilai RM55,750 dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Cheras pada Khamis.

Ketua Seksyen Pencegahan dan Kesedaran Pengguna Cawangan Penguatkuasa Farmasi Bahagian Perkhidmatan Farmasinya Halimi Mat Piah berkata premis itu diserbu pukul 10 pagi Khamis susulan aduan ada penjualan produk suntikan Vitamin C yang dipercayai tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.

"Pelbagai jenis produk kesihatan dan kecantikan dijumpai termasuk suntikan Vitamin C dan suntikan-suntikan lain bagi tujuan kecantikan yang dijual pada harga RM200 hingga RM350 sekotak," katanya pada sidang media, di sini.

Menurutnya produk terbabit hanya dijual dalam talian menerusi laman sosial seperti Facebook dan blog bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata pengambilan suntikan Vitamin C kini menjadi satu budaya dalam kalangan mereka yang ingin mencerahkan kulit kerana kesannya lebih cepat berbanding pengambilan tablet.

Bagaimanapun menurutnya, pengambilan produk yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan boleh menimbulkan pelbagai masalah kesihatan kepada pengguna seperti cirit-birit, gastrik, batu karang dan kegagalan fungsi buah pinggang jika diambil untuk jangka masa panjang.

Kes hari ini disiasat mengikut Peraturan 7(1)(A) Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM25,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan bagi individu, manakala syarikat pula boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000. - BERNAMA

Artikel Lain