suria

Dua Lelaki Ditahan Menyamar Anggota Polis Untuk Menyamun

PETALING JAYA: Polis menahan dua lelaki termasuk seorang warga asing di Damansara Perdana, Khamis lepas, kerana menyamar sebagai anggota polis untuk menyamun orang ramai.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata mereka yang berumur lingkungan 20an itu ditahan pasukan peronda polis pada 4.45 pagi setelah menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika ditahan warga asing itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan memakai pakaian seragam kadet polis sekolah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kesedaran Keselamatan dan Ronda Berbasikal anjuran Rukun Tetangga SS2B Petaling Jaya di sini.

Arjunaidi berkata motosikal yang ditunggangi mereka juga didapati dicuri dan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Daripada siasatan awal, polis mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah namun mengaku ada menyamun beberapa mangsa semasa menyamar.

Mereka kini ditahan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana menyamun dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam serta Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal, katanya.

Terdahulu dalam ucapannya di majlis itu, beliau meminta setiap Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Petaling Jaya mengaktifkan semula Skim Rondaan Sukarela (SRS) bagi menurunkan indeks jenayah.

"Ada beberapa kawasan kejiranan tidak memberikan kerjasama yang baik kepada jiran-jiran sendiri sehinggakan tidak mampu untuk menubuh atau mengaktifkan pasukan ronda.

"Justeru itu, apabila berlaku jenayah kita tidak dapat membantu kerana perkara pokoknya ialah tiada penduduk yang menjadi telinga dan mata kepada pihak polis," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain