suria

Kerajaan Sedia 1,800 Tempat Kepada Pelajar India Di Matrikulasi

Muhyiddin ketika keluar dari Dewan Rakyat selepas sesi soal jawab di Bangunan Parlimen. -fotoBERNAMA
Muhyiddin ketika keluar dari Dewan Rakyat selepas sesi soal jawab di Bangunan Parlimen. -fotoBERNAMA
Muhyiddin ketika keluar dari Dewan Rakyat selepas sesi soal jawab di Bangunan Parlimen. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah menyediakan sebanyak 1,800 tempat kepada pelajar berketurunan India untuk memasuki pusat matrikulasi di seluruh negara.

Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan jumlah berkenaan melebihi kuota yang ditetapkan kepada pelajar bukan Bumiputera iaitu 1,500 tempat.

"Tahun ini kita menyediakan lebih banyak tempat kepada pelajar berketurunan India dengan 1,800 tempat walaupun kita terpaksa tapis kerana ada yang tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan.

"Kira-kira 92 hingga 95 peratus mereka yang memohon dapat memasuki matrikulasi. Jadi jangan tuduh kerajaan tidak beri peluang kepada pelajar berketurunan India di negara ini," katanya ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh M. Kulasegaran (Dap- Ipoh Barat) yang meminta Menteri Pendidikan menjelaskan mengenai dakwaan pelajar berketurunan India diketepikan daripada memasuki pusat matrikulasi di negara ini.

Sementara itu, Muhyiddin berkata penggabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi memberi peluang untuk melaksanakan kajian semula terhadap Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dan ia dapat diselesaikan menjelang akhir 2013.

"Penggabungan kementerian ini akan dapat memberi peluang penambahbaikan dan pengajaran yang lebih komprehensif dengan memberi penekanan kepada lima perkara utama iaitu akses kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

"Saya juga berkeyakinan dengan tindakan yang diambil ini, transformasi pendidikan akan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun, seiring dengan transformasi-transformasi kerajaan yang lain," katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir (BN-Kulim Bandar Baharu) minta Menteri menyatakan pelan Pembangunan Pendidikan yang dirangka oleh Kementerian Pelajaran serta langkah mengkaji dan memperhalusi pelan berkenaan pada sesi soal jawab di Parlimen pada Khamis.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri, Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) diwujudkan hasil penggabungan Pejabat Pengurusan Projek (PMO) dan Pejabat Pengurusan Pelaksanaan (DMO) di bawah sektor pelajaran yang bertanggungjawab menggerak dan memacu pelaksanaan inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) termasuk bidang keberhasilan utama negara pendidikan.

"Sehingga kini enam inisiatif untuk tempoh 100 hari gelombang pertama PPPM telah pun dicapai dengan jayanya.

"Seramai 56, 754 guru Bahasa Inggeris telah menjalani Ujian Penempatan Cambridge (CPT) bagi mengenal pasti tahap kemahiran berbahasa masing-masing.

"Hasil ujian mendapati, 17, 026 (28.9 peratus) daripada jumlah guru tersebut mencapai tahap kompentensi tertinggi berasaskan standard 'Common European Frameworl Of Referemces For Languages (CEFR) dan selebihnya melepasi tahap penguasaan bahasa Inggeris yang memuaskan," katanya.

Beliau berkata fasa kedua pula akan melibatkan 9,240 guru Bahasa Inggeris yang dijadualkan bermula September 2013 hingga Disember 2014.

"Hasil daripada program Rakan Peningkatan Sekolah (SiPartners+) yang dilaksanakan di Sabah dan Kedah, sekolah dalam band 6 dan 7 di negeri berkenaan berjaya dikurangkan sebanyak 50 peratus.

"Saya percaya menjelang 2015, sasaran sifar bagi kedua-dua band tersebut, insya-Allah akan dapat dicapai. Laporan akhir PPPM akan dimuktamadkan pada Julai 2013," katanya.

Artikel Lain