suria

Tiga Lelaki Ditahan Dipercayai Terlibat Sindiket Penipuan

IPOH: Tiga lelaki ditahan di sekitar Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 17 Jun lepas dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan 'fly by night' atau 'terbang malam' di Perak sejak Mei lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata suspek yang berusia antara 34 dan 60 tahun itu ditahan berikutan 14 laporan polis daripada peniaga dan jurujual syarikat yang ditipu membabitkan kerugian kira-kira RM130,000.

"Modus operandi sindiket ini ialah menjalankan sebuah syarikat yang baharu didaftarkan dan aktif membeli barang-barang seperti tayar kereta, minyak pelincir, alat gantian kereta dan peralatan membaiki kenderaan.

"Semua urusan pembelian dibayar dengan menggunakan cek tertunda dan mangsa kemudiannya tidak dapat menunaikan cek kerana akaun telah ditutup," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Beliau berkata selepas kira-kira dua bulan beroperasi, pejabat syarikat itu dikosongkan dan semua pekerja dan pemilik syarikat menghilangkan diri.

"Sindiket ini menggunakan proksi untuk mendaftarkan syarikat serta membuka akaun bank. Kebiasaannya, proksi ini merupakan seorang penagih dadah yang sanggup menjual identitinya dengan sedikit imbuhan," katanya.

Mohd Shukri berkata kesemua suspek direman selama tiga hari bermula Selasa lepas untuk membantu siasatan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis menahan seorang lelaki di sebuah premis di Bercham, dekat sini semalam dipercayai terlibat dalam kegiatan ceti haram.

"Polis merampas tiga bilah pedang, tiga telefon bimbit, 36 dokumen pemberi pinjaman wang tanpa lesen, buku catatan mengandungi senarai peminjam wang dan kalkulator," katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda minimum RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta. - BERNAMA

Artikel Lain