suria

SPR Tidak Tetapkan Kandungan Silver Nitrate Dalam Dakwat Kekal

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak meletakkan sebarang piawaian bagi peratusan kandungan silver nitrate dalam dakwat kekal yang digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) SPR tidak menyatakan jumlah silver nitrate yang boleh digunakan bagi tujuan berkenaan.

"Semakan SPR mendapati kandungan silver nitrate dalam dakwat kekal adalah berbeza-beza mengikut negara," katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dr Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai).

Dr Hatta bertanya mengapa kandungan silver nitrate dalam dakwat kekal yang digunakan pada PRU-13 dibawah paras satu peratus sedangkan piawaian asal yang ditetapkan ialah empat peratus.

Mengulas lanjut Shahidan berkata, SPR bagaimanapun menggunakan pengalaman Kementerian Kesihatan dalam menggunakan silver nitrate untuk rawatan penyakit kulit tanpa memudaratkan pesakit.

"Kadar yang tidak memudaratkan ialah sekitar 0.5 hingga 1 peratus. Jadi atas dasar mengutamakan keselamatan pengundi yang pertama kali menggunakan dakwat kekal, SPR melalui prinsip penggunaan bahan kimia pada paras terendah iaitu satu peratus," katanya.

Artikel Lain