suria

Perbicaraan Setiausaha Eksekutif Pakatan P.Pinang 9 September

BUTTERWORTH: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 9 September untuk perbicaraan setiausaha eksekutif pakatan rakyat Pulau Pinang Ong Eu Leong atas tuduhan menganjurkan perhimpunan aman tanpa permit polis di Stadium Negeri Batu Kawan, 11 Mei lepas.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi semasa kes itu dikemukakan untuk sebutan semula, Khamis.

Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim dan Nur Ashikin Mokhtar mewakili pihak pendakwaan manakala Ong diwakili peguam Lim Boon Beng dan Ong Chin Wen.

Pada 27 Mei lepas, Ong, 44, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menganjurkan perhimpunan aman tanpa permit polis di Stadium Negeri Batu Kawan pada 8.30 malam, 11 Mei.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9 (5) Akta yang sama, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000. - BERNAMA

Artikel Lain