Pegawai Khas Menteri Wajib Lalui Proses Saringan SPRM - Semasa | mStar

Pegawai Khas Menteri Wajib Lalui Proses Saringan SPRM

KUALA LUMPUR: Semua pegawai khas kepada menteri Kabinet akan dikehendaki menjalani proses saringan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan tapisan keutuhan dan proses tapisan halus oleh polis, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan.

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan urus tadbir yang baik dan meningkatkan ketelusan di kalangan pegawai-pegawai khas berkenaan.

Perkara tersebut dipersetujui pada mesyuarat Pasukan Petugas Penyampaian NKRA Membanteras Rasuah yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Rabu.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

"Peranan seorang Pegawai Khas adalah penting kerana dalam sesetengah kes, mereka bertindak sebagai 'pengawal' kepada menteri dan mempunyai keistimewaan kepada maklumat-maklumat yang amat sulit," kata Low dalam kenyataan di sini.

Selain proses saringan, pegawai khas perlu mengisytiharkan harta mereka kepada Perdana Menteri setiap tahun sama seperti menteri dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, katanya.

Low berkata dengan mengasaskan langkah-langkah itu, peluang untuk salah laku dapat dikurangkan.

Beliau berkata mesyuarat itu juga meluluskan pelantikan Lembaga Penasihat Antarabangsa kepada SPRM yang ditugaskan untuk memberi nasihat dan kajian inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) khusus di bawah transformasi SPRM dalam sektor pencegahan.

Beliau berkata ahli lembaga itu termasuk individu berprofil tinggi daripada Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) New South Wales dan Hong Kong.

"Tujian lembaga itu adalah penanda aras prestasi SPRM setanding dengan amalan terbaik antarabangsa serta meningkatkan persepsi antarabangsa terhadap SPRM," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Artikel Lain