suria

Malindo Air Adakan Penerbangan Ke Alor Setar, K.Terengganu, Langkawi Mulai 1 Ogos

KUALA LUMPUR: Malindo Air mengumumkan bahawa perkhidmatan baharunya ke Alor Setar, Kuala Terengganu dan Langkawi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah akan bermula pada 1 Ogos.

Perkhidmatan ini akan menggunakan pesawat ATR72-600 baharu syarikat itu, katanya dalam satu kenyataan.

Perkhidmatan yang menghubungkan Subang dengan Alor Setar ialah dua kali sehari, manakala di antara Subang dan Kuala Terengganu serta Langkawi sekali sehari.

Pada masa ini, Malindo Air mengadakan perkhidmatan turbo-prop ke Pulau Pinang, Kota Baharu dan Johor Baharu dari Subang.

"Kemunculan Malindo Air di Lapangan Terbang Subang disambut hangat oleh orang ramai. Kami mengadakan penerbangan kami ke Kota Baharu dengan kapasiti melebihi 90 peratus pada kebanyakan masa," kata Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy.

Tambang promosi ditawarkan pada kadar RM109 termasuk semua, dari sekarang hingga 4 Ogos, 2013. - BERNAMA

Artikel Lain