suria

Kes Saman Ahli Perniagaan Terhadap Ahmad Zahid Diteruskan Perbicaraan

PUTRAJAYA: Saman oleh seorang ahli perniagaan terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung dakwaan melakukan serangan akan diteruskan perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Persekutuan menolak permohonan menteri untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bahawa beliau harus menyelesaikan saman itu di mahkamah. Lima orang panel diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif menolak permohonan pada Khamis dengan kos RM5,000.

Hakim Raus berkata isu-isu yang dibangkitkan oleh peguam Ahmad Zahid, Shamsul Bahrai Ibrahim adalah fakta dan harus didengar dalam perbicaraan bukan Mahkamah Persekutuan.

Ahli perniagaan Amir Bazli Abdullah, 41, memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi pada 4 Julai 2007, mendakwa Ahmad Zahid menumbuk beliau di muka pada 16 Januari 2006 di kelab rekreasi di Country Heights, Kajang, menyebabkan dia mengalami patah tulang hidung dan bengkak mata kiri.

Ahmad Zahid memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk membatalkan saman itu atas alasan saman itu adalah remeh tetapi telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan pada April 2010 dan Mac 2012.

Ahmad Zahid memfailkan tuntutan balas terhadap Amir Bazli menuntut ganti rugi kerana mengalami tekanan, malu, kebimbangan yang dialami oleh beliau dan juga ganti rugi bagi libel berhubung penerbitan insiden itu selepas Amir Bazli melaporkan kepada media.

Dalam pernyataan pembelaannya, Ahmad Zahid yang ketika itu merupakan Timbalan Menteri Penerangan menafikan beliau menumbuk Amir Bazli sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian mukanya, mendakwa ia adalah rekaan Amir Bazli.

Kes itu kini didengar di hadapan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 dan 27 Ogos.

Amir Bazli memberitahu pemberita pada Khamis bahawa beliau telah mengalami kecederaan kekal di kepalanya dan kehilangan penglihatan pada mata kirinya. Beliau diwakili oleh peguam Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo dan Gobind Singh Deo.

Artikel Lain