suria

Jerebu: Indonesia Setuju Cadangan Percepatkan Mesyuarat

JAKARTA: Indonesia bersetuju dengan cadangan mempercepatkan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Peringkat Menteri mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan, di Kuala Lumpur selama tiga hari mulai 15 Julai.

Mesyuarat pada asalnya dijadual berlangsung pada 20 hingga 21 Ogos.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel berkata Menteri Alam Sekitar Indonesia Dr Balthasar Kambuaya secara lisan telah bersetuju untuk mempercepatkan mesyuarat tersebut, ketika kedua-dua mereka bertemu di pejabat Balthasar di sini Khamis.

Menteri Malaysia itu telah menggesa rakan sejawatannya dari Indonesia untuk membincangkan mengenai kerjasama mengatasi masalah jerebu yang sedang melanda Malaysia, yang berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah gambut di Riau, Sumatera.

Asap daripada kebakaran sejak seminggu lalu telah menjejaskan beberapa negeri di Semenanjung Malaysia dan Singapura.

Difahamkan bahawa Indonesia sedang dalam proses meratfikasikan perjanjian tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain