suria

Speaker Tolak Bahas Usul Jerebu

KUALA LUMPUR: Parlimen pada Rabu menolak untuk membahaskan usul tergempar mengenai isu jerebu yang semakin meruncing di negara ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia membuat keputusan tersebut, menegaskan usul tergempar berkenaan boleh dibahas dalam usul titah diraja pada sesi perbahasan nanti.

Menurutnya, mengikut Peraturan Mesyuarat 18 (1) usul tergempar yang difailkan hanya boleh dibahas sekiranya kerajaan tidak mengambil apa-apa tindakan untuk menangani isu jerebu berkenaan.

“Saya terpaksa tolak dalam kamar usul tergempar yang difailkan oleh Yang Berhormat (Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Ayer Hitam-BN) dan Teo Nie Ching (Kulai-DAP) di bawah Peraturan Mesyuarat 43.

"Sekarang ini kerajaan sudah melakukan tindakan susulan dengan mengumumkan penutupan sekolah, Menteri berkaitan telah pergi ke Indonesia dan beberapa tindakan lain," katanya ketika menolak usul tergempar mengenai jerebu dibahaskan di Dewan Rakyat.

Selain itu Pandikar berkata, punca jerebu adalah daripada Indonesia dan bukan dari Malaysia.

"Tidak perlulah kita bahaskan usul yang membabitkan Indonesia iaitu negara jiran yang mempunyai hubungan rapat dengan kita," katanya.

Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia akan mengutuskan surat kepada Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono bagi memohon kerjasama republik itu dalam mengatasi masalah jerebu. Selain itu, Menteri Alam Sekitar juga kini di Indonesia bagi berunding dengan rakan-rakannya bagi mencari jalan menyelesaikan masalah itu.

Artikel Lain